Friday, December 9, 2011

6:38 AM - No comments

“Siapa Suruh Dia Berhenti”

KOTA BHARU – “Saya lawan dia (Mahathir) sejak awal sampai ke akhir. Siapa suruh dia berhenti. Waktu dia berhenti dia kata dia gagal pimpin orang Melayu, memang dia gagal sebab dia tarik Melayu cara songsang dengan menolak Islam.
“Sekarang dia sebut Melayu bersatu tetapi bersatu untuk apa, untuk Melayu atau Islam, Islam untuk umat manusia di seluruh dunia.”
Itu kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta mengulas mengenai nasihat bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang memintanya supaya berundur daripada dunia politik kerana sudah terlalu lama.
Pada masa yang sama Nik Abdul Aziz turut menempelak pemimpin UMNO yang mengatakan beliau tidak berundur disebabkan Pas ketandusan pemimpin untuk diketengahkan.
“Itu dia punya pasal, orang hendak pada saya hendak buat macam mana. Dia (pemimpin UMNO) tidak laku,” katanya.
Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata demikian selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Kelantan, Dr. Mohd. Fadhli Datuk Hassan berkata, beliau bagi pihak pimpinan dan ahli Pas Kelantan menyokong penuh Nik Abdul Aziz untuk terus menerajui parti itu.
“Saya nak nyatakan di sini, saya bagi pihak seluruh pemimpin dan ahli Pas menyokong penuh Tok Guru untuk terus kekal memimpin kami.
“Kami masih memerlukan tunjuk ajar dari beliau, Pas tidak seperti UMNO, lagi lama pemimpin itu lagi baik kerana pengalamannya dapat digunakan untuk membimbing rakyat,” katanya.

0 comments: