Sunday, November 27, 2011

7:31 PM - No comments

Kelantan Bazirkan Air Bersih

Oleh RAHIM M NOH
KOTA BHARU – Kelantan didakwa antara negeri tertinggi mencatatkan pembaziran air dirawat.
Malah hanya 50 hingga 60 peratus yang dirawat oleh Air Kelantan Sdn Bhd sampai kepada pengguna akhir.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, ia disebabkan paip yang uzur sehingga menyebabkan berlaku kebocoran yang terlalu banyak.
“Sepatutnya masalah tersebut tidak berlaku kerana kerajaan negeri telah menerima peruntukkan yang banyak iaitu RM600 juta untuk selesaikan masalah air tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang perubahan.
“Ini maklumat yang saya terima…ini berkemungkinan berlaku kebocoran pada paip utama yang menyebabkan pembaziran berlaku,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Untuk rekod, AKSB telah membelanjakan sebanyak RM130 juta untuk mengatasi masalah air tidak terhasil (NRW) iaitu memperbaiki sistem paip di negeri ini.
Bagaimanapun sehingga hari ini ia tidak menampakkan sebarang kesan yang besar terhadap pengguna AKSB.
Sementara itu, Mohd Fatmi yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu berkata, apa yang berlaku telah merugikan rakyat Kelantan yang sewajarnya mendapat bekalan air bersih yang berkualiti.
“Masalah ini tidak sewajarnya berlaku kerana negeri ini bukannya seperti Somalia yang kering kontang.
“Pengurusan yang teruk menyebabkan bekalan air bersih terjejas sehingga hari ini,” katanya.

0 comments: