Sunday, December 18, 2011

10:52 PM - No comments

Penduduk Sungai Keladi Berdepan Masalah Sampah

SUNGAI KELADI – Penduduk Taman Perumahan Jintan terpaksa berdepan bau busuk apabila banyak pihak membuang sampah di kawasan haram berdekatan taman ini, sejak setahun lalu.
Penduduk, Pak Rahim, 56, berkata, penduduk di sini sanggup memandu agak jauh semata-mata mahu membuang sampah di kawasan yang diwartakan yang terletak satu kilometer.
Namun sikap tidak peka penduduk sekitar dengan mengambil jalan mudah membuang sampah di sini, mengundang pencemaran kepada penghuni di taman perumahan ini.
Menurutnya, pihaknya memohon pihak berkenaan menyediakan kemudahan tong dan sistem memungut sampah secara berkala agar masalah sampah ini dapat diselesaikan dengan segera.
“Pada mulanya, kawasan membuang sampah hanya tertumpu di satu kawasan sahaja, namun ia semakin merebak kira-kira 100 meter sepanjang laluan taman.
“Masalah ini bukan hanya menyebabkan bau busuk, malah air bertakung menyebabkan banyak serangga seperti lalat, nyamuk dan ulat membiak di kawasan berkenaan,” katanya semalam.
Pak Rahim berkata, ia menyebabkan serangga itu memenuhi ruang dapur sehingga menyukarkan penduduk setiap kali waktu makan.
Sementara itu, Ketua Cabang Keadilan Pasir Mas, Datuk Dr Wan Suhaimi Wan Daud turut meninjau masalah penduduk di sini, semalam.
Beliau berkata, masalah ini perlu ditangani segera agar ia tidak mengundang penyakit seperti denggi, malah bau busuk boleh menyebabkan penghuninya berdepan risiko penyakit seperti lelah
“Binatang liar seperti tikus dan anjing juga boleh menyebabkan penduduk di sini berdepan risiko diserang terutama kepada kanak-kanak yang bermain berdekatan taman permainan tidak jauh dari kawasan ini.
“Islam amat mementingkan kebersihan, maka persekitaran yang kotor hanya akan mendatangkan pandangan serong penduduk bukan Islam,” katanya.
Beliau berharap, pihak berkenaan sedia membantu penduduk di taman perumahan ini, dengan menyediakan kemudahan tong sampah dan mengadakan sistem memungut sampah secara berkala dengan segera.

0 comments: