Sunday, November 27, 2011

7:27 PM - No comments

Jambatan Maut Idam Nyawa di Pulau Melaka

KOTA BHARU – Kejadian jambatan yang roboh disebabkan arus deras di mukim Kuau, Bachok minggu lalu turut menimbulkan kebimbangan penduduk di Kampung Pulau Melaka berhubung sebuah jambatan lama di kampung itu  yang mungkin akan mengalami nasib yang sama.

Jambatan Mukim Kuau yang runtuh tiba-tiba akibat arus deras.
Apa yang membimbangkan penduduk, jambatan yang hanya menunggu masa untuk roboh itu umpama ‘perangkap maut’ dan kini menjadi tumpuan kaki pancing untuk memenuhi hobi mereka.
Tinjauan Detik Perubahan mendapati rata-rata penduduk melahirkan kebimbangan kerana tidak ada sebarang tindakan oleh pihak berkenaan bagi merobohkan jambatan lama itu walaupun sudah bertahun ia terbiar.
“Saya hairan kenapa jambatan itu dibiarkan dan tidak diruntuhkan kerana ia kini menjadi tumpuan kaki pancing dan kanak-kanak untuk bermain di situ,” jelas seorang penduduk ketika ditemui di sini.
Seorang lagi penduduk berkata, apa yang mengewakan mereka kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat bersikap lepas tangan dan tidak prihatin terhadap keselamatan penduduk dalam menangani masalah ini.
“Jambatan ini terletak hampir dengan rumah Menteri Besar. Ia terletak bersebelahan jambatan baru yang menjadi laluan utama beliau ke Bandar Kota Bharu dan juga pejabatnya setiap hari. Agak mustahil sekiranya beliau tidak nampak  jambatan maut ini dipenuhi kaki pancing yang adakalanya terdiri daripada kalangan kanak-kanak.
“Tidak terfikirkah beliau untuk diwujudkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan melakukan sesuatu yang boleh menyelamatkan nyawa rakyat. Jangan sampai terjadi sesuatu yang tidak diingin barulah pihak berkenaan sibuk untuk mengambil langkah sewajarnya,” katanya.
Persoalannya, apa yang didakwa penduduk ada kebenarannya kerana struktur jambatan dilihat tidak lagi selamat untuk digunakan dan mungkin akan tumbang pada bila-bila masa sahaja.
Diharap kerajaan negeri dapat mengambil langkah sewajarnya dalam menangani masalah ini sebelum berlaku musibah yang tidak diingini.

petikan dari blog : http://detikperubahan.com/2011/11/27/jambatan-maut-idam-nyawa-di-pulau-melaka/

0 comments: