Thursday, January 5, 2012

5:38 AM - No comments

Penyekat Demonstrasi Pengacau: Nik Aziz

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak dakwaan Demonstrasi 901 yang akan diadakan Isnin ini akan mencetus kekacauan dalam negara.
Tanpa menyatakan sama ada menggalak atau mencegah ahli Pas menyertai demonstrasi berkenaan, Nik Abdul Aziz berkata, pihak yang menyekat demonstrasi adalah pengacau.
“Bukan masalah galak tak galak, tetapi demonstrasi benda halal dari segi agama, malah negara komunis pun ada demokrasi, dalam perlembagaan pun demonstrasi adalah betul, tetapi kenapa negara kita menyekat.
“Demonstrasi tidak menimbulkan kekacauan, tetapi yang menyekatnya adalah pengacau, setiap hari orang Islam diajar berdemonstrasi ke masjid,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Tengah hari sempena Tahun Baru dan Tahun Melawat Kelantan 2012 di Perdana
Resort dekat sini, hari ini.
Perdana Resort merupakan satu-satunya pusat peranginan di negeri ini bawah Kerajaan Negeri di bawah kendalian Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Negeri Kelantan.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Zainuddin Awang Hamat yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perdana Resort.
Sementara itu, mengulas mengenai penjenamaan baru yang dilakukan terhadap Perdana Resort, Nik Abdul Aziz berkata, pelbagai pendekatan baru yang dilaksanakan bagi memastikan pusat peranginan tersebut dikunjungi ramai.
Menurutnya, dengan penjenamaan baru itu juga ia akan mendorong kakitangan pusat peranginan berkenaan agar melaksanakan tanggungjawab diamanahkan dengan lebih telus, jujur dan jauh dari penyelewengan.
“Selain itu, kita juga akan wujudkan kemudahan-kemudahan bagi memudahkan orang ramai berkunjung ke pusat peranginan ini termasuk mewujudkan bas khusus dari bandar Kota Bharu (hotel dan rumah penginapan) ke Perdana Resort.
“Kenderaan awam terutamanya bas juga boleh digunakan untuk mempromosikan kedatangan pelancong ke Perdana Resort, atau mungkin kita boleh mendapatkan kebenaran daripada City Liner untuk menampal poster- poster di belakang bas mereka,” katanya.

0 comments: