Thursday, November 17, 2011

8:19 AM - No comments

Tabung Serambi Mekah Terima Sumbangan RM6 juta

Nik Abdul Aziz diiringi Mohd Fadzli (kanan) menerima sumbangan daripada agensi kerajaan negeri dan swasta di Kompleks Balai Islam, Lundang, di sini.
Oleh Raitini Rahman
KOTA BHARU – Sejak ditubuhkan pada tahun 1991 buat pertama kalinya Akaun Amanah Kebajikan Darulnaim (Tabung Serambi Mekah) berjaya mengutip hampir RM6 juta sumbangan pada tahun ini bermula Januari lalu, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Aziz berkata, jumlah itu termasuk hasil sumbangan peribadi berjumlah RM5 juta daripada seorang individu yang enggan dikenali.
Katanya, kesedaran yang timbul dalam diri individu terbabit membuktikan kelebihan dan kemurnian Islam yang tidak ada dalam nasionalis dan demokratik.
”Ia juga membuktikan hasil usaha kerajaan negeri yang memperbesarkan kerja akhirat mencapai sasaran sehingga membawa kepada apa yang diterima Tabung Serambi Mekah hari ini.
“Saya harap tindakan dermawan tersebut akan menjadi pendorong kepada individu atau agensi lain untuk menunaikan tanggungjawab sama,” katanya yang turut mengakui ia menyimpan sejarah tersendiri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis kutipan derma akaun tersebut di Kompleks Balai Islam di sini.
Beliau berkata, sumbangan tersebut akan digunakan untuk membantu mangsa- mangsa bencana alam, kebakaran dan fakir miskin.
Sementara itu, wakil Pengerusi Tabung berkenaan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr Mohamed Fadzli Datuk Hassan, sejak tiga tahun lalu, kira- kira RM12 juta berjaya dikutip tabung berkenaan.
Katanya, daripada jumlah tersebut sebanyak RM8 juta dibelanjakan bagi membantu golongan memerlukan.
Antara agensi kerajaan negeri yang menderma, termasuk Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), selain syarikat swasta pejabat- pejabat tanah dan jajahan, majlis- majlis daerah serta individu.

0 comments: