Monday, November 14, 2011

11:29 PM - No comments

MAIK Digesa Pantau Khutbah di Masjid

KOTA BHARU – Majlis Agama Islam Kelantan digesa membuat pemantauan terhadap bacaan khutbah di setiap masjid di negeri ini ekoran tindakan imam dan khatib yang sering menggunakan khutbah sebagai ceramah politik dan masjid sebagai medan memburuk-burukkan kerajaan.

Gesaan itu dibuat penduduk di beberapa kawasan di negeri ini termasuk Pengkalan Chepa, Bachok, Tumpat dan Kota Bharu kerana tidak tahan dengan sikap imam dan khatib di kawasan mereka yang menjadikan khutbah Jumaat sebagai medan untuk mengutuk dan memburuk-burukkan pihak lain.

Seorang jemaah di sebuah masjid di Bachok, Mohamad Asri Ali, 45, berkata, dia kesal dengan sikap dan tindakan memburuk-burukkan Kerajaan Pusat dilakukan oleh khatib ketika menyampaikan khutbah Jumaat di masjid tersebut.

Menurutnya, khatib terbabit dalam khutbahnya turut dikesan memburuk-burukkan Kerajaan Pusat kerana mengharamkan perhimpunan Bersih 2.0.

Selain itu, khatib berkenaan membuat dakwaan Kerajaan Pusat terlibat dengan rasuah tanpa sebarang fakta. Macam-macam tuduhan yang dibuat terhadap Kerajaan Pusat termasuk berhubung isu kenaikan harga barang, video seks dan sebagainya.

“Khatib berkenaan telah menggunakan kesempatan untuk menceritakan tentang kezaliman pihak polis semasa menangani perhimpunan haram Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, sebagai jemaah mereka datang ke masjid untuk beramal ibadat serta mendengar nasihat yang baik-baik tentang perpaduan, silaturahim sesama insan, menghormati ibu bapa, menghormati sesama insan, tidak berburuk sangka, bersyukur atas nikmat Allah SWT berterima kasih kepada pemimpin dengan keamanan negara.

Kekesalan berhubung isu yang sama turut diluahkan oleh Wan Jusoh Hussin, 51, yang meminta imam dan khatib terbabit kembali ke landasan yang betul dan lebih bertanggungjawab terhadap tugas dan tanggungjawab yang diberikan.

“Ini bukan kali pertama kejadian sebegini berlaku malah boleh dikatakan setiap minggu khutbahnya mencaci dan memaki hamun pihak lain. Sepatutnya institusi masjid di jadikan tempat untuk mengeratkan perpaduan di kalangan umat Islam dan bukannya menjadi medan hasutan.

“Semua pihak bertanggungjawab termasuk ahli jawatankuasa masjid, imam dan bilal seharusnya tidak menggunakan masjid untuk kepentingan peribadi atau dijadikan arena politik,” katanya.

Menurutnya, bukan hanya khutbah Jumaat sahaja dijadikan medan menghukum, menghina dan mencaci malah terbaru khutbah Aidil Adha juga turut dijadikan medan mencaci kerajaan Pusat berhubung isu hudud.

Sementara itu di Pengkalan Chepa, seorang jemaah masjid di sini kecewa dengan sikap imam dan khatib yang menjadikan khutbah hari raya itu sebagai medan untuk mengutuk kerajaan Pusat berhubung isu hudud.

Nik Azmi Hassan, 41, berkata, dia terkejut dengan tindakan khatib yang terang-terangan mengutuk dan mencerca pihak tertentu berhubung isu hudud.

“Tidak salah jika khatib berkenaan menerangkan kebaikan hudud tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Jemaah bukan dihidangkan dengan khutbah yang membina tetapi kami terpaksa mendengar leteran kahtib yang seolah-oleh tidak puas hati dengan apa yang berlaku di dalam negara.

“Saya tidak tahu kenapa khatib ini dibenarkan memberi khutbah yang sebegitu rupa. Ini kerana ramai yang hadir adalah terdiri daripada orang Islam daripada pelbagai bangsa yang datang menunaikan solat sunat hari raya Aidil Adha pada hari tersebut. Kalau pun hendak berkempen atau memberi penerangan janganlah digunakan masjid.

“Carilah tempat yang lebih sesuai umpamanya dewan orang ramai, pasar malam atau jemput orang ramai datang rumah bolehlah bukannya di masjid yang menyebabkan jemaah yang hadir kurang senang khutbah yang dibaca,” katanya.

Jelasnya, apa yang diharapkan setiap jemaah setiap kali khutbah dibacakan adalah untuk seluruh umat Islam serta mangajak kepada perpaduan sesama kita dan bukannya menggalakkan perpecahan.

Sehubungan itu, MAIK diminta memandang serius masalah ini agar ia tidak terus berulang yang akhirnya memecah belahkan umat Islam di negeri ini.

Dicopy dari blog : http://detikperubahan.com/2011/11/12/maik-digesa-pantau-khutbah-di-masjid/

0 comments: