Friday, November 18, 2011

6:37 AM - No comments

17 Tahun Untuk Bermimpikan Air Bersih

Kerajaan PAS Negeri Kelantan memerlukan 17 tahun lagi untuk menyelesaikan masalah penyaliran air bersih kepada penduduk Negeri Kelantan. Itu adalah kenyataan yang dibuat oleh Exco Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar, YB Dato’ Mejar(B) Md Anizam Abd Rahman di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan pada akhir 2010.
Kerajaan memang bercadang membekalkan seluruh Kelantan dengan air bersih pada tahun 2027,”
Demikian yang dinyatakan oleh Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kelantan itu. Apa yang Mejar (B) Anizam (foto di atas) tidak nyatakan bahawa, tempoh masa 17 tahun itu sebenarnya juga merupakan satu tempoh masa yang amat sukar untuk Pentadbiran PAS Kelantan menyelesaikan masalah air.
Lihat sahaja keadaan yang membelenggui Air Kelantan Sdn Bhd yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas tersebut.
Pada 2007, Air Kelantan atas perintah Nik Abdul Aziz telah menyingkirkan Haji Fauzi, Pengarah Urusannya yang merupakan satu-satunya sahaja harapan rakyat Kelantan untuk dapat perkhidmatan profesional dari agensi Kerajaan PAS yang dipenuhi oleh mereka yang mempunyai jawatan di dalam Parti PAS sama ada di peringkat negeri, kawasan ataupun cawangan.
Banyak sangat kipas di sekeliling Nik Aziz
Haji Fauzi didakwa tidak digemari ramai dan lemah imannya kerana dia seorang yang tidak tahu bersabar, suka mengamuk dan bila naik angin akan bercakap ‘lepas’. Ya, bersabar adalah tuntutan penting di dalam PAS. Itulah sebabnya 2027 baru dijangkakan AKSB dapat menjalankan tanggungjawab sepenuhnya.
Apa yang menjadi punca konflik di dalam Air Kelantan pada ketika itu sebenarnya bukanlah Haji Fauzi. Beliau mempunyai rekod cemerlang tetapi masalahnya ialah beberapa individu di dalam PAS Kawasan Pengkalan Chepa termasuklah anak Nik Abdul Aziz sendiri, iaitu Nik Abduh.
Nik Abduh pernah cuba mengambil alih perniagaan air bersih di Kelantan sejak bekalan air Kelantan di swastakan. Bahkan bila Thames Water Sdn Bhd (KWSB) mahu melepaskan pegangannya di dalam operasi bekalan air Kelantan, nama Nik Abduh yang ketika itu bekerjasama dengan seorang pemimpin UMNO Kelantan disebut oleh pihak Thames Water sebagai pihak yang sepatutnya mengambil alih pengurusan bekalan air Kelantan.
Usaha untuk Nik Abduh dan rakan pelaburnya menguasai bekalan air Kelantan dibuat atas nama sebuah syarikat bernama Air Darulnaim Sdn Bhd. Sehingga sekarang syarikat itu masih wujud dan nama Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bachok masih ada di dalam senarai pemegang saham syarikat tersebut.
Apabila tertubuhnya Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada 1999, dendam kesumat dan keinginan meratah kantung wang dalam urusan bekalan air tetap tidak hilang dari segelintir pihak termasuk beberapa individu dari PAS Kawasan Pengkalan Chepa. Ini akhirnya membawa kepada penyingkiran Haji Fauzi lalu membuka pintu seluas-luasnya untuk beberapa individu lain mengambil kesempatan.
Akibatnya, kerugian terkumpul AKSB bagi tahun berakhir 2011 dijangkakan akan mencecah kepada lebih RM11 juta dan sekarang ada usaha untuk membebankan pengguna dengan cadangan kenaikan caj tarif air menjelang 2012 bagi menampung kerugian tersebut.
AKSB juga berhadapan dengan kegagalan di dalam projek-projeknya. Projek Non Revenue Water (NRW) atau Projek Air Tidak Berhasil menelan belanja sebanyak RM130 juta bermula pada Julai 2008 dan berakhir pada Ogos 2011. Bagaimanapun ia jelas gagal memberikan impak positif terhadap sistem bekalan air secara total.
Menerusi projek NRW juga, projek penukaran meter air ‘smart meter’ diperkenalkan dan menelan belanja sejumlah RM12 juta. Dijangkakan sejumlah 80,000 unit meter akan ditukar tetapi setelah hanya 40,000 unit di tukar kemudiannya diperakui bahawa terdapat kegagalan pada fungsi meter pintar ini.
AKSB juga mencanangkan menggunakan teknologi terkini di dalam projek Pembinaan Telaga Jejari di jajahan Jeli. Kononnya ia akan menyelesaikan masalah bekalan air di jajahan tersebut. Seperti projek lainnya, ia turut gagal dan masih terdapat kawasan di Jeli yang terpaksa berhadapan dengan catuan bekalan air.
Di dalam pada itu, AKSB juga tidak bersedia untuk menghadapi krisis kecemasan bekalan air kerana ia hanya mempunyai 6 buah lori tangki air untuk digerakkan pada waktu krisis.
Pelbagai alasan diberikan oleh AKSB berhubung kelemahan mereka menunaikan tanggungjawabnya dan diantaranya ialah kekerapan kerosakan pam di loji-loji air utama seperti Loji Rawatan Air Bukit Remah di Tanah Merah, Loji Rawatab Air Pahi di Kuala Krai dan Loji rawata Air Merbau Chondong.
Pada waktu AKSB gagal mengatasi masalah perkhidmatannya, ia terus kehilangan fokus dengan melabur pada kadar yang meragukan bagi projek-projeknya. Antara yang menjadi bualan para kakitangan AKSB sendiri ialah kos yang dirasakan tidak menasabah bagi projek menaiktaraf Loji Rawatan Air Pintu Geng yang dikatakan menelan kos sebanyak  23 juta lebih tinggi dari sepatutnya. Kos sekarang didakwa berjumlah RM58 juta sedangkan menurut pihak tertentu di dalam AKSB sendiri kos itu sepatutnya tidak lebih RM35 juta sahaja.
Sekiranya PAS terus memerintah Kelantan sehingga 2027, kemungkinan besar bekalan air bersih untuk seluruh Kelantan terpaksa ditunda untuk beberapa tahun dari tarikh itu. Selagi PAS tidak dapat memastikan agensi Kerajaan Negeri ditadbir secara profesional dan bukan oleh mereka yang berjawatan di dalam parti tempoh 17 tahun hanya akan menjadi mimpi ngeri untuk rakyat Kelantan.

0 comments: